BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, 26 January 2010

Utusan Online - Perlu ada garis panduan sistematik tukar guru BM, BI

ARKIB : 19/01/2010
27 Januari 2010 / 11 Safar 1431

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) meminta kerajaan menyediakan garis panduan yang sistematik bagi menempatkan semula guru-guru yang mengajar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris ke sekolah lain.

Presidennya, Hashim Adnan berkata, program penempatan semula yang hanya melibatkan dua mata pelajaran itu telah disalah gunakan segelintir pentadbir sekolah dengan sewenang-wenangnya.

"Timbul masalah apabila penempatan semula ini dilaksanakan awal tahun ini. Kita menerima beberapa aduan daripada guru-guru mengenai perkara ini.

"Tiada garis panduan tetap mengenai penempatan semula guru dalam hal ini. Jadi sebelum ia berlarutan, sesuatu perlu dilakukan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Adnan berkata, NUTP bersetuju apabila Kementerian Pelajaran sebelum ini menjelaskan bahawa penempatan semula guru yang mengajar dua mata pelajaran itu adalah demi memperkukuhkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

"Namun, dalam proses pergerakan guru dari satu sekolah ke sekolah lain itu, masalah lain pula timbul. Kita dapati ada guru yang tidak mengajar dua mata pelajaran itu turut ditukarkan atas alasan guru itu tidak disukai pihak sekolah atau bermasalah," katanya.

Katanya, sejak program penempatan itu dimulakan awal Januari ini, terdapat 10 aduan yang sebahagian besarnya melibatkan penyalahgunaan kuasa pentadbir sekolah terhadap guru-guru yang dipaksa bertukar ke sekolah lain.

"Aduan lain termasuk arahan pertukaran dalam tempoh yang terlalu singkat sehingga menimbulkan masalah kepada guru terlibat. Ini memberi tekanan kepada mereka terutama yang mempunyai keluarga.

"Masalah kos sara hidup juga menjadi isu apabila penempatan semula ini tidak dilaksanakan dengan koordinasi yang tepat oleh pihak yang berwajib," katanya.

Justeru, NUTP turut menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan menyediakan pampasan bulanan kepada guru-guru terlibat bagi membantu meringankan beban terutama kepada yang telah berkeluarga.

Katanya, penempatan semula guru-guru terbabit juga perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat dan berhati-hati dengan mengambil kira semua faktor kemanusiaan.

Adnan berkata, proses pertukaran guru-guru itu juga perlu dibuat berdasarkan kepada keperluan mata pelajaran di sesuatu sekolah dan bukannya kerana sekolah terbabit memerlukan guru semata-mata.

No comments:

Post a Comment