BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Sunday 21 February 2010

Pelajar diwajib bersukan 2011

Pembabitan diberi kredit, lahirkan ramai atlit berpotensi: Muhyiddin

Oleh Abdul Razak Raaff, Rosli Abdul Jalil dan Mohd Anwar Patho Rohman
bhnews@bharian.com.my

BANDAR JENGKA: Kementerian Pelajaran akan mewajibkan setiap pelajar sekolah rendah dan menengah menyertai sekurang-kurangnya satu acara sukan mulai tahun depan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Timbalan Perdana Menteri berkata, pembabitan mereka dalam kegiatan sukan itu akan diambil kira, termasuk diberi kredit atau markah.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan untuk menerapkan nilai sukan di sekolah, sekali gus mengembalikan kecemerlangan sukan dan melahirkan lebih ramai bakal atlit sukan negara.

"Kita akan menubuhkan satu jawatankuasa sementara bagi memperincikan perkara ini, termasuk pemberian pemarkahan dan kredit kepada pelajar yang cergas dalam sukan.

"Kalau pelajar cergas dan aktif dalam sukan dia ada markah dan kredit... kalau tidak nanti ibu bapa bertanya nak buat apa sukan baik pergi kelas tuisyen sebab nak dapat A (dalam peperiksaan). Jadi sukan tidak penting dan ini bagi saya satu pendekatan yang kurang tepat dan perlu diperbetulkan," katanya pada sidang media selepas menutup rasmi Konvensyen Umno Pahang 2010 di Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini, semalam.

Hadir sama isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Adnan Yaakob.

Kelmarin, Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Sukan menggariskan lima unsur penting bagi mengembalikan kegemilangan sukan di sekolah, termasuk mengarahkan Bahagian Seni, Kokurikulum dan Sukan di kementeriannya dirombak dan meletakkan sukan berasingan daripada yang lain.

Katanya, kurikulum berhubung sukan juga perlu dikaji semula bagi menyesuaikan waktu dilaksanakan supaya tidak menjejaskan pembangunan akademik pelajar, menambah bilangan guru terlatih dalam bidang sukan serta memperbanyakkan kemudahan infrastruktur sukan di sekolah.

Mengulas lanjut, beliau berkata aktiviti sukan di sekolah juga akan dikaji supaya ia tidak semata-mata diadakan dalam tempoh dua tiga bulan pertama sesi persekolahan sebaliknya sepanjang tahun bagi menyemarakkan budaya bersukan.

"Aktiviti sukan sebelum ini kurang diberi perhatian sewajarnya sedangkan untuk membangunkan atlit kebangsaan bermula dari sekolah rendah, sekolah menengah sampai universiti dan biasanya kemudian barulah kita ambil bakal atlit negara," katanya.

Di KUALA LUMPUR, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, meminta kementerian mendapatkan pandangan pakar Majlis Sukan Negara (MSN), bekas jurulatih atau atlit kebangsaan dan guru sukan bagi merombak semula kurikulum sukan sekolah rendah dan menengah.

Beliau berkata pengetahuan dan kepakaran golongan ini dalam bidang kesukanan perlu diambil kira jika kementerian serius hendak mengembalikan kegemilangan sukan di peringkat sekolah.

"Kementerian perlu panggil golongan ini kerana mereka adalah kumpulan pakar yang sesuai untuk merangka dan merombak semula kurikulum sukan sekolah kerana mereka mempunyai ilmu, pengetahuan serta pengalaman dalam bidang kesukanan," katanya.


Sunday 7 February 2010

INFO SEJARAH ASIA TENGGARA

Kepada semua rakan-rakan yang mengambil kursus ini, tugasan kumpulan Sejarah Asia Tenggara hendaklah dihantar pada minggu pertama Hari Jumaat(Dalam kelas 10.00 am - 12.00 pm) selepas cuti Tahun Baru Cina. Bukannya pada hari Jumaat ini.

FORMAT:
1.) Guna sistem APA atau gaya penulisan UMS. (Tidak perlu menggunakan sistem nota kaki /foot note. Sertakan bibliografi sahaja)
2.) Muka surat 25 - 30 helai.
3.) Font : Tahoma 11
4.) Langkau 1.5


SELAMAT MEMBUAT TUGASAN ANDA. BERHATI-HATI SEMASA BALIK KAMPUNG.

Friday 5 February 2010

Utusan Online 6.2.10- SBT penanda aras baru - TPM

ARKIB : 05/02/2010

NUSAJAYA 4 Feb. - Penyenaraian 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang diumumkan baru-baru ini bukan sahaja untuk menaik taraf sekolah tersebut, malah ia menjadi satu penanda aras baru dalam pembangunan dan mutu pendidikan di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengumuman itu akan membolehkan semua sekolah mengetahui senarai SBT dan mereka akan berusaha gigih ke arah mencapai kriteria tersebut.

"Tetapi saya juga sedar memang ada perbezaan dan jurang dari segi taraf pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar terutamanya di pedalaman Sabah dan Sarawak yang daif.

"Tetapi dengan cara begini (SBT), kita harap sekolah lain akan mencapai taraf SBT. Sekolah yang di bawah pun cemerlang juga, cuma dia tidak dapat memenuhi kriteria yang ketat. Dia cemerlang tetapi di bawah dan kita harap mereka akan terus meningkat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Stadium dan Kompleks Sukan Educity@Iskandar di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Pengerusi Iskandar Investment Bhd. (IIB), Tan Sri Azman Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Arlida Ariff.

Beliau mengulas kebimbangan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo bahawa langkah kerajaan menyenaraikan 20 buah (SBT) akan melebarkan lagi jurang kualiti pendidikan di bandar dan luar bandar.

Mohamad Khir juga mempersoalkan tindakan kerajaan mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM700,000 setahun kepada SBT, tetapi pada masa sama memotong bajet sekolah biasa sehingga menjejaskan banyak aktiviti pendidikan.

Muhyiddin berkata, mengikut Indeks Prestasi Utama (KPI) Kementerian Pelajaran, pihaknya menyasarkan 20 buah SBT, manakala 30 buah pada tahun depan sebelum jumlahnya meningkat kepada 50 buah menjelang 2012.

Beliau berkata, kementeriannya dalam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) menyasarkan dapat mewujudkan 100 buah SBT.

"Tetapi kita tidak mahu dengan ada SBT ini, sekolah-sekolah lain menjadi tidak penting. Hanya 20 buah SBT sedangkan kita ada kira-kira 10,000 sekolah di seluruh negara.

"Tumpuan masih diberikan kepada semua sekolah dan kita hendak pastikan yang mana belum cemerlang akan meningkat, manakala yang sudah cemerlang akan naik ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, selain SBT Kementerian Pelajaran akan mengambil langkah dengan memulakan program 'hand holding' antara Sekolah Berprestasi Rendah (SBR) dengan 27 Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) di negara ini.

Beliau menjelaskan, menerusi program itu, setiap IPGM akan mengambil sebuah sekolah yang masih berada di tahap pretasi rendah.

"Sudah pasti sekolah ini tidak akan naik ke SBT, tetapi jika dapat meningkat 20 hingga 30 peratus daripada tahap sekarang, ia merupakan satu pencapaian," katanya.

Salah satu lagi NKRA ialah insentif kepada pengetua dan guru besar yang berjaya mencapai tahap yang lebih tinggi.

"Insentif ini bukan sahaja untuk pengetua dan guru besar, malah seluruh guru di sekolah tersebut agar mereka bersama-sama berusaha untuk meningkatkan tahap sekolah," katanya.

Berita Harian 06.02.10 - Syarat lulus BI jejas pelajar luar bandar

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
bhnews@bharian.com.my

GMP mahu kelemahan Bahasa Inggeris segera diatas

KUALA LUMPUR: Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) bimbang pelaksanaan syarat lulus Bahasa Inggeris dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikhuatiri mengorbankan nasib pelajar di kawasan luar bandar yang kebanyakannya lemah dalam mata pelajaran itu.

Pengerusinya, Datuk Dr Hassan Ahmad, berkata pihaknya khuatir ia akan menimbulkan lebih banyak masalah terutama mengakibatkan banyak pelajar yang lemah dalam bahasa Inggeris di kawasan luar bandar itu, gagal dalam peperiksaan.

"Pelaksanaan ini akan menjejaskan pelajar yang mendapat 10A atau 15A dalam semua mata pelajaran yang diajarkan dalam bahasa Melayu tetapi gagal hanya kerana tidak lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris.

"Keadaan ini sama seperti dasar penjajah terhadap bahasa Inggeris dalam sistem pelajaran di negara ini sebelum kemerdekaan," katanya pada sidang akhbar Majlis Ceramah dan Forum Bahasa Kebangsaan GMP di Rumah Pena di sini, semalam.

Hadir sama Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr A Samad Said.

Hassan menyarankan Kementerian Pelajaran menyelesaikan masalah kelemahan Bahasa Inggeris dengan meningkatkan kaedah dan mutu pengajaran mata pelajaran itu di sekolah.

"Kelulusan Bahasa Inggeris tidak harus dijadikan syarat lulus SPM, sebaliknya sistem pendidikan subjek ini dipertingkatkan dan kemu-dahan sempurna disediakan kepada pelajar untuk menguasainya," katanya.

Tuesday 2 February 2010

Berita Harian - 02 Feb 2010 Usia enam tahun mulakan alam persekolahan dikaji

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Kerajaan berpendapat sudah tiba masanya Kementerian Pelajaran memperkenalkan kemasukan ke Tahun Satu pada usia enam tahun, berbanding tujuh tahun ketika ini.

Sambil menjelaskan banyak negara maju melaksanakannya, termasuk di rantau ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata langkah itu akan membolehkan pelajar memasuki universiti serta pasaran kerja setahun lebih awal.

“Tambahan pula, sebahagian besar kanak-kanak sudah mengikuti pembelajaran peringkat prasekolah.

“Kita sedang mengkajinya. Perkara ini perlu diteliti kerana ada implikasinya. Kita tidak boleh putuskan secara terburu-buru atau dilaksanakan mendadak kerana kapasiti sekolah untuk menampung 500,000 pelajar baru setiap tahun akan menjadi beban.

“Namun, secara dasarnya, saya fikir sudah sampai waktu (untuk memulakan persekolahan Tahun Satu pada usia enam tahun). Saya mahu buka kepada pandangan masyarakat sama ada mereka bersetuju supaya masuk Tahun Satu ketika umur enam tahun.

“Saya sudah bincang pada peringkat kementerian dan dapatkan input pelbagai pihak seperti pakar pendidikan, pakar psikologi kanak-kanak dan juga (meneliti) dari segi sejarah pembangunan prasekolah.

“Sekiranya kita boleh buat begitu dengan kurikulum sedia ada, kemungkinan besar kita boleh laksanakan,” katanya dalam rancangan Soal Jawab di stesen televisyen TV3, malam tadi yang dihoskan Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa TV7, TV8, TV9 dan Rangkaian Radio Kumpulan Media Prima, Datuk Manja Ismail.

Menteri Pelajaran itu berkata, beliau juga sedang mempertimbangkan secara serius cadangan mewajibkan pelajar lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau berkata, ia selaras dengan langkah Kementerian Pelajaran menambah baik pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris yang sudah dilaksanakan.

“Saya pernah sarankan dulu apakah mungkin sudah sampai masa kita mewajibkan lulus Bahasa Inggeris (dalam SPM) supaya pelajar memberi tumpuan lebih.

“Takkanlah jika sudah belajar dari Tahun Satu sehingga Tingkatan Lima, pada peringkat SPM tidak boleh lulus... bukan kita hendak minta kredit. Perkara ini saya sedang memikirkan secara serius. Bila akan laksanakan kita akan ambil kira,” katanya.

Muhyiddin juga menegaskan pada peringkat membuat keputusan nanti, beliau tidak melihat perkara itu sebagai satu halangan, terutama untuk pelajar Melayu mendapat sijil penuh SPM hanya kerana gagal dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.

Beliau berkata, pelbagai langkah dilakukan untuk mempertingkat pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah seluruh negara, termasuk pengambilan 15 guru dari luar negara yang akan berperanan sebagai jurulatih.

Selain itu, Kementerian Pelajaran dalam proses mengambil lebih 360 penutur jati dari luar negara, termasuk United Kingdom dan New Zealand, sebagai ‘master teacher’ untuk mengajar dan memantau guru Bahasa Inggeris di sekolah.

“Waktu pembelajaran subjek Bahasa Inggeris di sekolah juga ditambah,” katanya.

Monday 1 February 2010

Utusan Online - 02 Feb 2010 Sikap guru bantu Seri Puteri jadi SBT


pelajar Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya menunjukkan 600 penyertaan daripada pelajar sekolah itu untuk pertandingan menulis surat kepada Perdana Menteri pada majlis penyerahan surat tersebut kepada Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Aseh Che Mat di Cyberjaya, kelmarin.


CYBERJAYA 29 Jan. - Sikap proaktif tenaga pengajar Sekolah Seri Puteri di sini menjadi antara faktor penyumbang kepada pemilihan sekolah itu sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

Pengetua sekolah tersebut, Rashidah Md. Arif berkata, guru-guru dan semua tenaga pekerja sekolah itu amat komited ketika menjalankan tugas tanpa mengira waktu.

Katanya, mereka bekerja dalam satu pasukan dan mematuhi arahan yang diberikan oleh pihak atasan dalam memastikan matlamat yang disasarkan dapat dicapai.

"Tidak dapat dinafikan seluruh warga sekolah termasuk pelajar gembira dengan pemilihan dan pencapaian terbaru ini.

"Kini apa yang perlu dilakukan adalah untuk mengatur dan memperkemaskan perancangan untuk mengekalkan status SBT ini," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan penyertaan pertandingan Surat kepada Perdana Menteri di sini.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan Sekolah Seri Puteri antara 20 buah sekolah yang diiktiraf sebagai SBT.

Pengumuman berkenaan membolehkan 20 buah sekolah yang tersenarai itu mendapat keistimewaan kuasa autonomi tambahan untuk menaik taraf martabat sistem pendidikan negara ke arah bertaraf dunia.

Menurut Rashidah, guru dan pelajar perlu seiring bekerjasama menghadapi perubahan itu bagi membolehkan cabaran untuk memartabatkan kualiti sistem pendidikan negara tercapai.

Beliau berkata, pihaknya akan meningkatkan penggunaan teknologi komunikasi maklumat (ICT) dalam setiap urusan dan pentadbiran sekolah termasuk proses pembelajaran.

"Sekolah akan memastikan talian dan prasarana ICT berada dalam keadaan baik bagi memastikan akses kepada sistem maklumat dapat dilakukan tanpa sebarang masalah," jelasnya.

Sementara itu, beliau amat berterima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu sekolah terutamanya persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) dan alumni Sekolah Seri Puteri.

"Mereka selama ini telah banyak berusaha membantu kami untuk mendapatkan dana untuk sekolah," katanya.

Berita Harian - 02 Feb 2010 KL kekurangan guru terlatih subjek sains sosial

KUALA LUMPUR: Kebanjiran Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di beberapa sekolah menengah di Kuala Lumpur adalah disebabkan kekurangan tenaga pengajar bagi subjek sains sosial dan bahasa Melayu.

Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sulaiman Wak, berkata seramai 913 GSTT berkhidmat di beberapa sekolah menengah di sini khusus bagi mata pelajaran Sejarah, Geografi dan Bahasa Melayu.

"Ramai beranggapan guru-guru yang terbaik hanya bertumpu di kawasan bandar sedangkan di sini kita masih kekurangan guru terlatih bagi subjek sains sosial selain beberapa subjek lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kualiti Pendidikan di Sekolah Menengah Sentul Utama di sini hari ini.

Selain itu, katanya, subjek lain seperti Bahasa Mandarin dan Tamil di beberapa buah sekolah jenis kebangsaan turut mengalami masalah sama.

Beliau berpendapat cabaran lebih besar yang perlu dihadapi menyebabkan guru terlatih kurang minat untuk berkhidmat di bandar kerana desakan beberapa faktor.

"Di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur kebanyakan ibu bapa berkerjaya dan sentiasa sibuk. Justeru tanggungjawab guru yang perlu digalas adalah lebih banyak berbanding guru di kawasan luar bandar.

"Faktor ini mungkin menjadi penyebab guru terlatih kurang berminat untuk berkhidmat di kawasan bandar," kata Sulaiman.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengingatkan empat sekolah di Wilayah Persekutuan agar tidak mudah selesa dengan pengiktirafan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan empat SBT di Kuala Lumpur, iaitu SMK Aminuddin Baki, Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Utara, SK Taman Tun Dr Ismail dan SK Bukit Damansara.

Katanya, ini kerana pengiktirafan itu akan ditarik balik jika sekolah terbabit tidak mengekalkan pencapaian akademik dan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM).

"Kami turut menggalakkan sekolah yang tidak terpilih agar berusaha setanding dengan SBT kerana mereka juga berpeluang untuk diiktiraf sedemikian terutama jika berjaya melonjakkan SKPM," katanya. - Bernama

Utusan Online - 2 Feb 2010

PENDIDIKAN

ARKIB : 29/01/2010

Kerjasama pendidikan awal ASEAN

CEBU 28 Jan - Asia Tenggara bersetuju untuk mengadakan kerjasama dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak di kalangan negara anggota Majlis Pertubuhan Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO).

Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Zulkurnain Awang berkata, keputusan itu dicapai melalui Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran ASEAN Kelima (ASED) yang berlangsung hari ini.

Beliau berkata, ASED bersetuju supaya Sekretariat ASEAN menyediakan perancangan lima tahun untuk membentuk kerjasama pendidikan awal kanak-kanak di kalangan negara anggota.

"Kerjasama ini mencakupi usaha untuk menguat, memperluas dan mendalami usaha yang boleh dilakukan oleh ASEAN serta negara-negara di rantau lain ke arah memperkasakan pendidikan awal di kalangan kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi Mesyuarat ASED yang berlangsung serentak dengan Persidangan Majlis Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara (SEAMEC) Ke-45, di sini, hari ini.

Zulkurnain menggantikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada mesyuarat itu.

Menurut Zulkurnain, Sekretariat ASEAN juga sedang menyediakan perancangan untuk melihat dan mengkaji model-model pendidikan awal dan prasekolah di seluruh negara ASEAN.

Katanya, Malaysia pada mesyuarat itu telah memaklumkan usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam memastikan pendidikan awal kanak-kanak iaitu bermula pada umur empat tahun mampu dicapai oleh seluruh rakyat.

"Antaranya dengan menjadikan sasaran untuk meningkatkan penyertaan kanak-kanak dalam pra sekolah daripada 67 peratus kepada 87 peratus pada 2013 sebagai salah satu indikator kepada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA),'' ujar beliau.

Zulkurnain menambah, Mesyuarat ASED kali ini juga memutuskan untuk mengadakan satu perbincangan bagi merangka pelan kerjasama ASEAN Plus 3 mengenai pendidikan bersama-sama Korea dan China di Bangkok, Thailand pada Mac ini.

Berhubung laporan kemajuan Rangkaian Universiti ASEAN yang turut dibincangkan juga katanya, Mesyuarat ASED kali ini bersetuju untuk memperkukuhkan lagi rangkaian kerjasama universiti di rantau ini menerusi perpindahan kredit.

"Ini bermakna selepas ini, Malaysia misalnya boleh memberi pengiktirafan perpindahan kredit kepada universiti-universiti yang terdapat di ASEAN dan begitu juga sebaliknya," kata beliau.

-habis-

Utusan Online - 2 Feb 2010

PENDIDIKAN

ARKIB : 29/01/2010

Kerjasama pendidikan awal ASEAN

CEBU 28 Jan - Asia Tenggara bersetuju untuk mengadakan kerjasama dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak di kalangan negara anggota Majlis Pertubuhan Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO).

Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Zulkurnain Awang berkata, keputusan itu dicapai melalui Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran ASEAN Kelima (ASED) yang berlangsung hari ini.

Beliau berkata, ASED bersetuju supaya Sekretariat ASEAN menyediakan perancangan lima tahun untuk membentuk kerjasama pendidikan awal kanak-kanak di kalangan negara anggota.

"Kerjasama ini mencakupi usaha untuk menguat, memperluas dan mendalami usaha yang boleh dilakukan oleh ASEAN serta negara-negara di rantau lain ke arah memperkasakan pendidikan awal di kalangan kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi Mesyuarat ASED yang berlangsung serentak dengan Persidangan Majlis Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara (SEAMEC) Ke-45, di sini, hari ini.

Zulkurnain menggantikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada mesyuarat itu.

Menurut Zulkurnain, Sekretariat ASEAN juga sedang menyediakan perancangan untuk melihat dan mengkaji model-model pendidikan awal dan prasekolah di seluruh negara ASEAN.

Katanya, Malaysia pada mesyuarat itu telah memaklumkan usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam memastikan pendidikan awal kanak-kanak iaitu bermula pada umur empat tahun mampu dicapai oleh seluruh rakyat.

"Antaranya dengan menjadikan sasaran untuk meningkatkan penyertaan kanak-kanak dalam pra sekolah daripada 67 peratus kepada 87 peratus pada 2013 sebagai salah satu indikator kepada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA),'' ujar beliau.

Zulkurnain menambah, Mesyuarat ASED kali ini juga memutuskan untuk mengadakan satu perbincangan bagi merangka pelan kerjasama ASEAN Plus 3 mengenai pendidikan bersama-sama Korea dan China di Bangkok, Thailand pada Mac ini.

Berhubung laporan kemajuan Rangkaian Universiti ASEAN yang turut dibincangkan juga katanya, Mesyuarat ASED kali ini bersetuju untuk memperkukuhkan lagi rangkaian kerjasama universiti di rantau ini menerusi perpindahan kredit.

"Ini bermakna selepas ini, Malaysia misalnya boleh memberi pengiktirafan perpindahan kredit kepada universiti-universiti yang terdapat di ASEAN dan begitu juga sebaliknya," kata beliau.

-habis-

Utusan Online - 2 Feb 2010

ARKIB : 01/02/2010

Pengurangan bajet KPM: Cabaran buat guru

KUALA LUMPUR 31 Jan. - Pengurangan bajet oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) tahun ini dilihat sebagai satu cabaran yang perlu dihadapi para guru dan pihak pengurusan sekolah dalam usaha mereka bagi mengekalkan mutu pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta melahirkan pelajar-pelajar cemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB), Mohamed Sabri Mohd. Arsad, melalui pengurangan bajet oleh KPM itu banyak aktiviti sokongan pendidikan seperti aktiviti luar bilik darjah tidak dapat dijalankan.

''Pihak sekolah hanya dapat melaksanakan aktiviti peringkat dalaman sahaja manakala peringkat yang lebih tinggi seperti peringkat daerah, negeri dan kebangsaan tidak dapat dilaksanakan.

''Aktiviti-aktiviti sebegini penting dalam usaha mengasah bakat pelajar selain meningkatkan disiplin, motivasi dan sahsiah pelajar berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, kementerian mempunyai alasan dan sebab mereka tersendiri mengurangkan bajet tersebut dan ia dilakukan demi untuk kebaikan semua pihak terutamanya dalam keadaan ekonomi negara yang belum pulih sepenuhnya sekarang.

''Guru-guru tidak perlu merasa sangat terbeban dengan pengurangan bajet itu kerana ia adalah bersifat sementara. Anggap ia sebagai satu cabaran dalam usaha memartabatkan pendidikan negara dan melahirkan anak bangsa yang cemerlang.

''Pengurangan bajet ini juga akan meningkatkan semangat guru-guru dan pihak pengurusan sekolah untuk berusaha lebih bagi menjadikan sekolah mereka sebagai salah satu sekolah berprestasi tinggi di negara ini. Ianya tidak mustahil untuk dicapai," jelasnya.

Sabri berkata, janganlah terlalu mengharapkan imbuhan dan bantuan dari kerajaan dan sebagai guru, kita perlu memahami juga apa yang dilakukan kerajaan adalah untuk kebaikan semua.

''Diharap agar guru-guru akan lebih berdaya saing dalam menunjukkan kualiti mereka selain melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

''Pengorbanan yang lebih perlu dilakukan oleh mereka dalam mendidik para pelajar dan perkara ini adalah tidak mustahil untuk dijayakan jika adanya kerjasama dan kesepaduan di kalangan guru-guru serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)," katanya.

Dalam pada itu beliau turut meminta supaya pengurangan bajet yang melibatkan bantuan kepada pelajar-pelajar miskin dan kurang berkemampuan dikaji semula.

''Pengurangan bajet itu akan menjejaskan baucer tuisyen bagi pelajar- pelajar miskin dimana peluang untuk pelajar kurang berkemampuan mendapatkan bantuan semakin sukar dan syarat yang dikenakan lebih ketat.

''Bantuan pakaian seragam untuk aktiviti badan beruniform pelajar-pelajar miskin juga sudah tidak diberikan," katanya.

Selain itu jelasnya, pihak sekolah kini perlu menanggung sendiri perbelanjaan dan utiliti seperti bayaran bil elektrik dan bekalan air dimana kesannya lebih teruk dirasai oleh sekolah dua sesi.

''Saya meminta supaya KPM mengekalkan bajet terutamanya perbelanjaan dan utiliti sekolah kerana ianya dirasakan tidak adil kepada pihak sekolah," katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru-guru Sarawak, William Ghani Bina berkata, pihak sekolah memahami kehendak KPM mengurangkan bajet kerana faktor kegawatan ekonomi negara sekarang.

Namun begitu katanya, sebaiknya segala peruntukan yang melibatkan Pembelajaran dan Pengajaran (P&P) serta latihan perguruan tidak perlu dikurangkan atau disentuh langsung.

''Pengurangan itu bakal menyebabkan terjejasnya tujuan pendidikan selain akan membantutkan usaha dalam melahirkan guru-guru cemerlang di negara ini," katanya.

Utusan Online - 2 Feb 2010

PENDIDIKAN

ARKIB : 01/02/2010

Mengurus defisit bajet

ISU pemotongan bajet di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) kini menjadi buah mulut dalam kalangan warganya serta pihak berkepentingan langsung dengan kementerian terbesar itu. Taklimat, pekeliling dan surat peringatan tentang pemotongan bajet turut diedarkan kepada pihak swasta, yang selama ini bekerjasama dengan kementerian itu untuk menjayakan beberapa projek.

Lebih 100 buah syarikat telah diberi peringatan tentang hal ini.

Namun begitu, gurulah yang paling terasa dalam hal ini.

Kalau sebelum ini guru sentiasa menikmati kenaikan demi kenaikan, keselesaan ditambah keselesaan dan keraian bersambung keraian, kini masa untuk bermuhasabah dan menerima sedikit kekurangan dengan reda, syukur dan bersedia untuk bersama-sama menghadapi saat senang dan susah bagai sebuah keluarga besar.

Memang gurulah yang paling terasa bahangnya. Pelaksanaan beberapa program selepas ini betul-betul terbeban di atas batu jemala, kebijaksanaan dan budi bicara guru.

Kalau dahulu tuntutan elaun merupakan pelincir kepada inisiatif pembangunan sahsiah atau akademik pelajar apabila ada program di luar, kini sedikit sebanyak telah terbantut akibat langkah pemotongan belanjawan. Sebagai guru, apakah sikap kita apabila berhadapan dengan isu sebegini?

Sedikit kesukaran benar-benar menguji keikhlasan Yang lebih penting ialah bagaimanakah caranya hendak mengatasi masalah pemotongan bajet itu dengan cukup bijaksana supaya masalah itu tidak menjejaskan kualiti pendidikan negara.

Pendekatan berjimat cermat, mencari duit melalui pelbagai aktiviti serta menggunakan pendekatan kreatif dan inovatif seperti penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi sebagai pengupaya dengan cekap dan optimum seperti menzahirkan slogan sekolah tanpa kertas adalah salah satu cara penjimatan yang boleh dilaksanakan.

Mungkin kad laporan pelajar atau pemberitahuan aktiviti tidak perlu lagi menggunakan kertas. Cukup melalui emel atau sistem pesanan ringkas (SMS).

Pada hari ni, bagi ibu bapa yang mempunyai anak di sekolah tentu sedar akan betapa lecehnya terpaksa mengisi beberapa borang yang bertalu-talu daripada pihak sekolah yang dihantar melalui anak masing-masing. Sekolah juga perlu mengamalkan konsep kitar semula kertas.

Bagi projek yang menelan belanja besar, pembiayaan melalui penganjuran dan penglibatan pihak swasta mungkin lebih berkesan. Konsep alumni terlibat dengan program sekolah juga boleh dilaksanakan. Begitu juga konsep sekolah angkat korporat serta memperkenalkan konsep pentadbiran melalui Lembaga Pengarah seperti mana dilaksanakan di sekolah jenis kebangsaan Cina.

Dalam keadaan yang ekstrem, maka pihak berkuasa tempatan atau kerajaan negeri perlu secara langsung terlibat mengurangkan beban kerajaan pusat.

Model pengagihan tanggungjawab kepada pihak berkuasa tempatan di negara maju termasuk di Amerika Syarikat (AS) boleh dilaksanakan di negara ini.

Mungkin struktur cukai di peringkat pihak berkuasa tempatan boleh diperluas skopnya, daripada hanya berfokus kepada pembekalan dan penyelenggaraan, kepada tujuan pendidikan menyeluruh.

Sesungguhnya semangat guru tidak boleh pudar dengan pemotongan belanjawan di peringkat kementerian.

Parameter terhadap tindakan dan hasilan boleh 'berundur' sedikit tanpa mencacatkan objektif asal. Sebagai contoh, bagi aktiviti sukan dan rekreasi, maka niat asal untuk melahirkan tubuh badan dan otak yang cerdas perlu menjadi mauduk, bukan untuk tujuan bertanding.

Sukan boleh menjadi rekreasi dan kategori dikecilkan mengikut kesesuaian umur peserta. Pertandingan yang menelan belanja besar seperti acara di peringkat kebangsaan boleh dikecilkan kepada peringkat daerah sahaja.

Namun begitu mata kredit bagi aktiviti untuk pemberat kemasukan ke universiti perlu dirombak dan dipertimbangkan semula. Pelaksanaannya perlu seragam dan menuntut keikhlasan guru.

Begitulah keadaannya. Sebagai kementerian terbesar, ramai yang terasa terpukul dengan langkah penjimatan itu. Semoga kita semua -para guru - cukup waras menghadapi situasi semasa dengan berhemah dan matang. Pengorbanan ikhlas kita, pasti akan mendapat ganjarannya kelak.

2 Februari 2010 / 17 Safar 1431

TERKINI

Punca kebanjiran guru sandaran di beberapa sekolah di KL

02/02/2010 2:08pm

KUALA LUMPUR 2 Feb. – Kebanjiran Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di beberapa buah sekolah menengah di Kuala Lumpur adalah disebabkan kekurangan tenaga pengajar bagi subjek dalam sains sosial dan bahasa Melayu.

Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sulaiman Wak berkata, seramai 913 GSTT berkhidmat di beberapa buah sekolah menengah di sini khusus bagi mata pelajaran Sejarah, Geografi dan Bahasa Melayu.

"Ramai beranggapan guru-guru yang terbaik hanya bertumpu di kawasan bandar sedangkan di sini kita masih kekurangan guru terlatih bagi subjek-subjek dalam sains sosial selain beberapa subjek lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kualiti Pendidikan di Sekolah Menengah Sentul Utama di sini hari ini.

Selain itu, katanya subjek lain seperti Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil di beberapa buah sekolah jenis kebangsaan (SJK) turut mengalami masalah yang sama. – Bernama