BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Monday, 1 February 2010

Utusan Online - 2 Feb 2010

PENDIDIKAN

ARKIB : 29/01/2010

Kerjasama pendidikan awal ASEAN

CEBU 28 Jan - Asia Tenggara bersetuju untuk mengadakan kerjasama dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak di kalangan negara anggota Majlis Pertubuhan Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO).

Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Zulkurnain Awang berkata, keputusan itu dicapai melalui Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran ASEAN Kelima (ASED) yang berlangsung hari ini.

Beliau berkata, ASED bersetuju supaya Sekretariat ASEAN menyediakan perancangan lima tahun untuk membentuk kerjasama pendidikan awal kanak-kanak di kalangan negara anggota.

"Kerjasama ini mencakupi usaha untuk menguat, memperluas dan mendalami usaha yang boleh dilakukan oleh ASEAN serta negara-negara di rantau lain ke arah memperkasakan pendidikan awal di kalangan kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi Mesyuarat ASED yang berlangsung serentak dengan Persidangan Majlis Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara (SEAMEC) Ke-45, di sini, hari ini.

Zulkurnain menggantikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada mesyuarat itu.

Menurut Zulkurnain, Sekretariat ASEAN juga sedang menyediakan perancangan untuk melihat dan mengkaji model-model pendidikan awal dan prasekolah di seluruh negara ASEAN.

Katanya, Malaysia pada mesyuarat itu telah memaklumkan usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam memastikan pendidikan awal kanak-kanak iaitu bermula pada umur empat tahun mampu dicapai oleh seluruh rakyat.

"Antaranya dengan menjadikan sasaran untuk meningkatkan penyertaan kanak-kanak dalam pra sekolah daripada 67 peratus kepada 87 peratus pada 2013 sebagai salah satu indikator kepada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA),'' ujar beliau.

Zulkurnain menambah, Mesyuarat ASED kali ini juga memutuskan untuk mengadakan satu perbincangan bagi merangka pelan kerjasama ASEAN Plus 3 mengenai pendidikan bersama-sama Korea dan China di Bangkok, Thailand pada Mac ini.

Berhubung laporan kemajuan Rangkaian Universiti ASEAN yang turut dibincangkan juga katanya, Mesyuarat ASED kali ini bersetuju untuk memperkukuhkan lagi rangkaian kerjasama universiti di rantau ini menerusi perpindahan kredit.

"Ini bermakna selepas ini, Malaysia misalnya boleh memberi pengiktirafan perpindahan kredit kepada universiti-universiti yang terdapat di ASEAN dan begitu juga sebaliknya," kata beliau.

-habis-

No comments:

Post a Comment