BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday 26 January 2010

Berita Harian - 27.1.2010 Pusat pendidikan khas di Malaysia akan direalisasikan

Rabu, 27 Januari 2010

Oleh Zainor Said di Cebu, Filipina

PERSIDANGAN Majlis Menteri-Menteri Pelajaran Asean Ke-45 (Seamec ke-45) di sini dijangka meluluskan dua dokumen penting bagi membolehkan Malaysia menubuhkan pusat serantau Pertubuhan Menteri-Menteri Pelajaran Asean (Seameo) mengenai pendidikan khas.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata persetujuan itu penting bagi membolehkan Malaysia menganjurkan seminar serantau untuk merangka dasar pendidikan khas Asean sebelum penubuhan pusat berkenaan dilaksanakan.

"Persidangan Seamec Ke-44 di Phuket tahun lalu meluluskan penubuhan pusat Seameo bagi Keperluan Pendidikan Khas (SEN) di Malaysia yang bakal menjadi satu-satunya pusat yang menjurus kepada bidang pendidikan khas rantau ini.

"Program sokongan transisi, pengumpulan data orang kurang upaya (OKU) yang mencapai usia persekolahan, merangka program latihan dan perkongsian amalan terbaik program transisi untuk OKU perlu dipersetujui semua pihak sebelum Malaysia dapat menubuhkan pusat berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia sejurus tiba di Shangri-la's Mactan Resort, di sini, lokasi Persidangan Seamec Ke-45, semalam. Sebelum itu, Muhyiddin yang mengetuai delegasi Malaysia, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Mactan, diiringi Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta beberapa pegawai kanan Kementerian Pelajaran bagi persidangan empat hari berakhir Jumaat ini.

Muhyiddin berkata, pihak sekretariat Seameo juga akan melaporkan kemajuan Projek Bersama Seameo untuk Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik di Asia Tenggara dan Pencapaian Pendidikan untuk Semua Menjelang 2015 yang turut membabitkan Malaysia secara langsung.

"Malaysia akan melaporkan cadangan penganjuran Persidangan Bagi Menggalakkan Kesedaran Pendidikan kepada Kanak-Kanak Perempuan dan Wanita yang dijadualkan pada 11 hingga 15 Julai depan di Kuala Lumpur bagi menyokong pencapaian matlamat Pendidikan Untuk Semua (EFA) yang berteraskan kesamarataan jantina menjelang 2015.

"Persidangan bertujuan mengenal pasti pelbagai isu pendidikan kanak-kanak perempuan dan wanita serta berkongsi amalan terbaik berkaitan projek kerjasama jantina," katanya.

Muhyiddin berkata, persidangan kali ini akan menyaksikan jawatan Presiden Majlis Seameo yang dipilih di kalangan Menteri Pelajaran negara anggota Seameo secara giliran diambil alih Filipina. Menteri Pelajaran Thailand selaku Presiden Majlis Seameo Ke-44 akan melepaskan jawatan berkenaan.

No comments:

Post a Comment