BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday 26 January 2010

Berita Harian 27.1.10 Strategi pengukuhan

Oleh Rosniza Mohd Taha
yoniza@bharian.com.my

Enam program utama dilaksana capai matlamat transformasi IPTS Bumiputera

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi menggariskan lima strategi bagi mengukuhkan kedudukan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) Bumiputera.

Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pengurusan IPTS, Datin Prof Dr Siti Hamisah Tapsir, berkata strategi itu bagi memantap kualiti program akademik yang ditawarkan institusi itu pada peringkat tempatan dan antarabangsa, meningkatkan jumlah IPTS Bumiputera berdaya saing tinggi dan memastikannya memenuhi penetapan kualiti badan akreditasi.

Beliau berkata jumlah pelajar antarabangsa di IPTS Bumiputera juga akan terus ditingkatkan, selain memastikan kemudahan kampus di institusi itu diperbaiki.

“Kementerian peka dengan isu dan cabaran dihadapi IPTS ketika ini termasuk kesukaran mendapatkan pelajar kerana ramai lebih berminat memasuki politeknik, sumber kewangan terhad serta kurang penajaan bagi pengajian peringkat sijil dan diploma.

“Kementerian juga berdepan cabaran dalam menguruskan sektor ini antara lain ingin melihat sistem pentadbiran IPTS diubah termasuk menerusi pemisahan kuasa antara pemilik dengan ketua eksekutif, memastikan kualiti program pengajian ditawarkan serta pelaksanaan dasar pengantarabangsaan dan liberalisasi membabitkan institusi ini.

“Lima strategi baru ini akan dijayakan menerusi pelaksanaan enam program utama bagi memastikan rancangan transformasi IPTS mencapai objektifnya,” katanya ketika menyampaikan pembentangan kertas kerja bertajuk `Strategi dan Hala Tuju Industri Pendidikan Tinggi Swasta dalam Mendepani Cabaran Menjelang 2020.

Pembentangan itu sempena Seminar Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM), di Kuala Lumpur, kelmarin, yang dihadiri kira-kira 50 ahli persatuan itu termasuk Presidennya, Datin Norayini Ali. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merasmikan seminar berkenaan.

Siti Hamisah berkata, enam program bagi menjayakan strategi itu ialah mewujudkan Program Inkubator bagi membantu IPTS yang mempunyai kurang 600 pelajar termasuk menerusi aktiviti pemasaran dan perkongsian ahli akademik dengan IPT awam (IPTA).

Beliau berkata, perkongsian sumber dan kemudahan antara IPTS dengan IPTA akan turut digalakkan, pinjaman mudah bagi IPTS membeli kemudahan untuk program kritikal dan pemberian insentif rebat atau pengecualian cukai bagi aktiviti pembangunan kampus.

Turut dirancang, katanya, program latihan ahli akademik IPTS di IPTA serta menggalakkan majoriti pelajar siswazah mengikuti pengajian di IPTS bagi membolehkan IPTA menumpukan kepada aktiviti penyelidikan dan pembangunan.

“Prestasi pencapaian pelaksanaan strategi ini diukur menerusi empat indeks prestasi utama iaitu 75 peratus universiti dan kolej universiti mendapat tiga bintang dalam Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia dan semua program pengajian matang IPTS Bumiputera mendapat akreditasi.

“Selain itu, sekurang-kurangnya 30 peratus IPTS Bumiputera memperoleh kelulusan Kementerian Dalam Negeri untuk membuat pengambilan pelajar antarabangsa serta 30 peratus IPTS adalah hak milik penuh Bumiputera,” katanya.

No comments:

Post a Comment