BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Monday, 1 February 2010

Utusan Online - 02 Feb 2010 Sikap guru bantu Seri Puteri jadi SBT


pelajar Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya menunjukkan 600 penyertaan daripada pelajar sekolah itu untuk pertandingan menulis surat kepada Perdana Menteri pada majlis penyerahan surat tersebut kepada Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Aseh Che Mat di Cyberjaya, kelmarin.


CYBERJAYA 29 Jan. - Sikap proaktif tenaga pengajar Sekolah Seri Puteri di sini menjadi antara faktor penyumbang kepada pemilihan sekolah itu sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

Pengetua sekolah tersebut, Rashidah Md. Arif berkata, guru-guru dan semua tenaga pekerja sekolah itu amat komited ketika menjalankan tugas tanpa mengira waktu.

Katanya, mereka bekerja dalam satu pasukan dan mematuhi arahan yang diberikan oleh pihak atasan dalam memastikan matlamat yang disasarkan dapat dicapai.

"Tidak dapat dinafikan seluruh warga sekolah termasuk pelajar gembira dengan pemilihan dan pencapaian terbaru ini.

"Kini apa yang perlu dilakukan adalah untuk mengatur dan memperkemaskan perancangan untuk mengekalkan status SBT ini," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan penyertaan pertandingan Surat kepada Perdana Menteri di sini.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan Sekolah Seri Puteri antara 20 buah sekolah yang diiktiraf sebagai SBT.

Pengumuman berkenaan membolehkan 20 buah sekolah yang tersenarai itu mendapat keistimewaan kuasa autonomi tambahan untuk menaik taraf martabat sistem pendidikan negara ke arah bertaraf dunia.

Menurut Rashidah, guru dan pelajar perlu seiring bekerjasama menghadapi perubahan itu bagi membolehkan cabaran untuk memartabatkan kualiti sistem pendidikan negara tercapai.

Beliau berkata, pihaknya akan meningkatkan penggunaan teknologi komunikasi maklumat (ICT) dalam setiap urusan dan pentadbiran sekolah termasuk proses pembelajaran.

"Sekolah akan memastikan talian dan prasarana ICT berada dalam keadaan baik bagi memastikan akses kepada sistem maklumat dapat dilakukan tanpa sebarang masalah," jelasnya.

Sementara itu, beliau amat berterima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu sekolah terutamanya persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) dan alumni Sekolah Seri Puteri.

"Mereka selama ini telah banyak berusaha membantu kami untuk mendapatkan dana untuk sekolah," katanya.

Berita Harian - 02 Feb 2010 KL kekurangan guru terlatih subjek sains sosial

KUALA LUMPUR: Kebanjiran Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di beberapa sekolah menengah di Kuala Lumpur adalah disebabkan kekurangan tenaga pengajar bagi subjek sains sosial dan bahasa Melayu.

Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sulaiman Wak, berkata seramai 913 GSTT berkhidmat di beberapa sekolah menengah di sini khusus bagi mata pelajaran Sejarah, Geografi dan Bahasa Melayu.

"Ramai beranggapan guru-guru yang terbaik hanya bertumpu di kawasan bandar sedangkan di sini kita masih kekurangan guru terlatih bagi subjek sains sosial selain beberapa subjek lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kualiti Pendidikan di Sekolah Menengah Sentul Utama di sini hari ini.

Selain itu, katanya, subjek lain seperti Bahasa Mandarin dan Tamil di beberapa buah sekolah jenis kebangsaan turut mengalami masalah sama.

Beliau berpendapat cabaran lebih besar yang perlu dihadapi menyebabkan guru terlatih kurang minat untuk berkhidmat di bandar kerana desakan beberapa faktor.

"Di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur kebanyakan ibu bapa berkerjaya dan sentiasa sibuk. Justeru tanggungjawab guru yang perlu digalas adalah lebih banyak berbanding guru di kawasan luar bandar.

"Faktor ini mungkin menjadi penyebab guru terlatih kurang berminat untuk berkhidmat di kawasan bandar," kata Sulaiman.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengingatkan empat sekolah di Wilayah Persekutuan agar tidak mudah selesa dengan pengiktirafan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan empat SBT di Kuala Lumpur, iaitu SMK Aminuddin Baki, Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Utara, SK Taman Tun Dr Ismail dan SK Bukit Damansara.

Katanya, ini kerana pengiktirafan itu akan ditarik balik jika sekolah terbabit tidak mengekalkan pencapaian akademik dan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM).

"Kami turut menggalakkan sekolah yang tidak terpilih agar berusaha setanding dengan SBT kerana mereka juga berpeluang untuk diiktiraf sedemikian terutama jika berjaya melonjakkan SKPM," katanya. - Bernama

Utusan Online - 2 Feb 2010

PENDIDIKAN

ARKIB : 29/01/2010

Kerjasama pendidikan awal ASEAN

CEBU 28 Jan - Asia Tenggara bersetuju untuk mengadakan kerjasama dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak di kalangan negara anggota Majlis Pertubuhan Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO).

Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Zulkurnain Awang berkata, keputusan itu dicapai melalui Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran ASEAN Kelima (ASED) yang berlangsung hari ini.

Beliau berkata, ASED bersetuju supaya Sekretariat ASEAN menyediakan perancangan lima tahun untuk membentuk kerjasama pendidikan awal kanak-kanak di kalangan negara anggota.

"Kerjasama ini mencakupi usaha untuk menguat, memperluas dan mendalami usaha yang boleh dilakukan oleh ASEAN serta negara-negara di rantau lain ke arah memperkasakan pendidikan awal di kalangan kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi Mesyuarat ASED yang berlangsung serentak dengan Persidangan Majlis Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara (SEAMEC) Ke-45, di sini, hari ini.

Zulkurnain menggantikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada mesyuarat itu.

Menurut Zulkurnain, Sekretariat ASEAN juga sedang menyediakan perancangan untuk melihat dan mengkaji model-model pendidikan awal dan prasekolah di seluruh negara ASEAN.

Katanya, Malaysia pada mesyuarat itu telah memaklumkan usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam memastikan pendidikan awal kanak-kanak iaitu bermula pada umur empat tahun mampu dicapai oleh seluruh rakyat.

"Antaranya dengan menjadikan sasaran untuk meningkatkan penyertaan kanak-kanak dalam pra sekolah daripada 67 peratus kepada 87 peratus pada 2013 sebagai salah satu indikator kepada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA),'' ujar beliau.

Zulkurnain menambah, Mesyuarat ASED kali ini juga memutuskan untuk mengadakan satu perbincangan bagi merangka pelan kerjasama ASEAN Plus 3 mengenai pendidikan bersama-sama Korea dan China di Bangkok, Thailand pada Mac ini.

Berhubung laporan kemajuan Rangkaian Universiti ASEAN yang turut dibincangkan juga katanya, Mesyuarat ASED kali ini bersetuju untuk memperkukuhkan lagi rangkaian kerjasama universiti di rantau ini menerusi perpindahan kredit.

"Ini bermakna selepas ini, Malaysia misalnya boleh memberi pengiktirafan perpindahan kredit kepada universiti-universiti yang terdapat di ASEAN dan begitu juga sebaliknya," kata beliau.

-habis-

Utusan Online - 2 Feb 2010

PENDIDIKAN

ARKIB : 29/01/2010

Kerjasama pendidikan awal ASEAN

CEBU 28 Jan - Asia Tenggara bersetuju untuk mengadakan kerjasama dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak di kalangan negara anggota Majlis Pertubuhan Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO).

Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Zulkurnain Awang berkata, keputusan itu dicapai melalui Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran ASEAN Kelima (ASED) yang berlangsung hari ini.

Beliau berkata, ASED bersetuju supaya Sekretariat ASEAN menyediakan perancangan lima tahun untuk membentuk kerjasama pendidikan awal kanak-kanak di kalangan negara anggota.

"Kerjasama ini mencakupi usaha untuk menguat, memperluas dan mendalami usaha yang boleh dilakukan oleh ASEAN serta negara-negara di rantau lain ke arah memperkasakan pendidikan awal di kalangan kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi Mesyuarat ASED yang berlangsung serentak dengan Persidangan Majlis Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara (SEAMEC) Ke-45, di sini, hari ini.

Zulkurnain menggantikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada mesyuarat itu.

Menurut Zulkurnain, Sekretariat ASEAN juga sedang menyediakan perancangan untuk melihat dan mengkaji model-model pendidikan awal dan prasekolah di seluruh negara ASEAN.

Katanya, Malaysia pada mesyuarat itu telah memaklumkan usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam memastikan pendidikan awal kanak-kanak iaitu bermula pada umur empat tahun mampu dicapai oleh seluruh rakyat.

"Antaranya dengan menjadikan sasaran untuk meningkatkan penyertaan kanak-kanak dalam pra sekolah daripada 67 peratus kepada 87 peratus pada 2013 sebagai salah satu indikator kepada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA),'' ujar beliau.

Zulkurnain menambah, Mesyuarat ASED kali ini juga memutuskan untuk mengadakan satu perbincangan bagi merangka pelan kerjasama ASEAN Plus 3 mengenai pendidikan bersama-sama Korea dan China di Bangkok, Thailand pada Mac ini.

Berhubung laporan kemajuan Rangkaian Universiti ASEAN yang turut dibincangkan juga katanya, Mesyuarat ASED kali ini bersetuju untuk memperkukuhkan lagi rangkaian kerjasama universiti di rantau ini menerusi perpindahan kredit.

"Ini bermakna selepas ini, Malaysia misalnya boleh memberi pengiktirafan perpindahan kredit kepada universiti-universiti yang terdapat di ASEAN dan begitu juga sebaliknya," kata beliau.

-habis-

Utusan Online - 2 Feb 2010

ARKIB : 01/02/2010

Pengurangan bajet KPM: Cabaran buat guru

KUALA LUMPUR 31 Jan. - Pengurangan bajet oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) tahun ini dilihat sebagai satu cabaran yang perlu dihadapi para guru dan pihak pengurusan sekolah dalam usaha mereka bagi mengekalkan mutu pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta melahirkan pelajar-pelajar cemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB), Mohamed Sabri Mohd. Arsad, melalui pengurangan bajet oleh KPM itu banyak aktiviti sokongan pendidikan seperti aktiviti luar bilik darjah tidak dapat dijalankan.

''Pihak sekolah hanya dapat melaksanakan aktiviti peringkat dalaman sahaja manakala peringkat yang lebih tinggi seperti peringkat daerah, negeri dan kebangsaan tidak dapat dilaksanakan.

''Aktiviti-aktiviti sebegini penting dalam usaha mengasah bakat pelajar selain meningkatkan disiplin, motivasi dan sahsiah pelajar berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, kementerian mempunyai alasan dan sebab mereka tersendiri mengurangkan bajet tersebut dan ia dilakukan demi untuk kebaikan semua pihak terutamanya dalam keadaan ekonomi negara yang belum pulih sepenuhnya sekarang.

''Guru-guru tidak perlu merasa sangat terbeban dengan pengurangan bajet itu kerana ia adalah bersifat sementara. Anggap ia sebagai satu cabaran dalam usaha memartabatkan pendidikan negara dan melahirkan anak bangsa yang cemerlang.

''Pengurangan bajet ini juga akan meningkatkan semangat guru-guru dan pihak pengurusan sekolah untuk berusaha lebih bagi menjadikan sekolah mereka sebagai salah satu sekolah berprestasi tinggi di negara ini. Ianya tidak mustahil untuk dicapai," jelasnya.

Sabri berkata, janganlah terlalu mengharapkan imbuhan dan bantuan dari kerajaan dan sebagai guru, kita perlu memahami juga apa yang dilakukan kerajaan adalah untuk kebaikan semua.

''Diharap agar guru-guru akan lebih berdaya saing dalam menunjukkan kualiti mereka selain melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

''Pengorbanan yang lebih perlu dilakukan oleh mereka dalam mendidik para pelajar dan perkara ini adalah tidak mustahil untuk dijayakan jika adanya kerjasama dan kesepaduan di kalangan guru-guru serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)," katanya.

Dalam pada itu beliau turut meminta supaya pengurangan bajet yang melibatkan bantuan kepada pelajar-pelajar miskin dan kurang berkemampuan dikaji semula.

''Pengurangan bajet itu akan menjejaskan baucer tuisyen bagi pelajar- pelajar miskin dimana peluang untuk pelajar kurang berkemampuan mendapatkan bantuan semakin sukar dan syarat yang dikenakan lebih ketat.

''Bantuan pakaian seragam untuk aktiviti badan beruniform pelajar-pelajar miskin juga sudah tidak diberikan," katanya.

Selain itu jelasnya, pihak sekolah kini perlu menanggung sendiri perbelanjaan dan utiliti seperti bayaran bil elektrik dan bekalan air dimana kesannya lebih teruk dirasai oleh sekolah dua sesi.

''Saya meminta supaya KPM mengekalkan bajet terutamanya perbelanjaan dan utiliti sekolah kerana ianya dirasakan tidak adil kepada pihak sekolah," katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru-guru Sarawak, William Ghani Bina berkata, pihak sekolah memahami kehendak KPM mengurangkan bajet kerana faktor kegawatan ekonomi negara sekarang.

Namun begitu katanya, sebaiknya segala peruntukan yang melibatkan Pembelajaran dan Pengajaran (P&P) serta latihan perguruan tidak perlu dikurangkan atau disentuh langsung.

''Pengurangan itu bakal menyebabkan terjejasnya tujuan pendidikan selain akan membantutkan usaha dalam melahirkan guru-guru cemerlang di negara ini," katanya.

Utusan Online - 2 Feb 2010

PENDIDIKAN

ARKIB : 01/02/2010

Mengurus defisit bajet

ISU pemotongan bajet di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) kini menjadi buah mulut dalam kalangan warganya serta pihak berkepentingan langsung dengan kementerian terbesar itu. Taklimat, pekeliling dan surat peringatan tentang pemotongan bajet turut diedarkan kepada pihak swasta, yang selama ini bekerjasama dengan kementerian itu untuk menjayakan beberapa projek.

Lebih 100 buah syarikat telah diberi peringatan tentang hal ini.

Namun begitu, gurulah yang paling terasa dalam hal ini.

Kalau sebelum ini guru sentiasa menikmati kenaikan demi kenaikan, keselesaan ditambah keselesaan dan keraian bersambung keraian, kini masa untuk bermuhasabah dan menerima sedikit kekurangan dengan reda, syukur dan bersedia untuk bersama-sama menghadapi saat senang dan susah bagai sebuah keluarga besar.

Memang gurulah yang paling terasa bahangnya. Pelaksanaan beberapa program selepas ini betul-betul terbeban di atas batu jemala, kebijaksanaan dan budi bicara guru.

Kalau dahulu tuntutan elaun merupakan pelincir kepada inisiatif pembangunan sahsiah atau akademik pelajar apabila ada program di luar, kini sedikit sebanyak telah terbantut akibat langkah pemotongan belanjawan. Sebagai guru, apakah sikap kita apabila berhadapan dengan isu sebegini?

Sedikit kesukaran benar-benar menguji keikhlasan Yang lebih penting ialah bagaimanakah caranya hendak mengatasi masalah pemotongan bajet itu dengan cukup bijaksana supaya masalah itu tidak menjejaskan kualiti pendidikan negara.

Pendekatan berjimat cermat, mencari duit melalui pelbagai aktiviti serta menggunakan pendekatan kreatif dan inovatif seperti penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi sebagai pengupaya dengan cekap dan optimum seperti menzahirkan slogan sekolah tanpa kertas adalah salah satu cara penjimatan yang boleh dilaksanakan.

Mungkin kad laporan pelajar atau pemberitahuan aktiviti tidak perlu lagi menggunakan kertas. Cukup melalui emel atau sistem pesanan ringkas (SMS).

Pada hari ni, bagi ibu bapa yang mempunyai anak di sekolah tentu sedar akan betapa lecehnya terpaksa mengisi beberapa borang yang bertalu-talu daripada pihak sekolah yang dihantar melalui anak masing-masing. Sekolah juga perlu mengamalkan konsep kitar semula kertas.

Bagi projek yang menelan belanja besar, pembiayaan melalui penganjuran dan penglibatan pihak swasta mungkin lebih berkesan. Konsep alumni terlibat dengan program sekolah juga boleh dilaksanakan. Begitu juga konsep sekolah angkat korporat serta memperkenalkan konsep pentadbiran melalui Lembaga Pengarah seperti mana dilaksanakan di sekolah jenis kebangsaan Cina.

Dalam keadaan yang ekstrem, maka pihak berkuasa tempatan atau kerajaan negeri perlu secara langsung terlibat mengurangkan beban kerajaan pusat.

Model pengagihan tanggungjawab kepada pihak berkuasa tempatan di negara maju termasuk di Amerika Syarikat (AS) boleh dilaksanakan di negara ini.

Mungkin struktur cukai di peringkat pihak berkuasa tempatan boleh diperluas skopnya, daripada hanya berfokus kepada pembekalan dan penyelenggaraan, kepada tujuan pendidikan menyeluruh.

Sesungguhnya semangat guru tidak boleh pudar dengan pemotongan belanjawan di peringkat kementerian.

Parameter terhadap tindakan dan hasilan boleh 'berundur' sedikit tanpa mencacatkan objektif asal. Sebagai contoh, bagi aktiviti sukan dan rekreasi, maka niat asal untuk melahirkan tubuh badan dan otak yang cerdas perlu menjadi mauduk, bukan untuk tujuan bertanding.

Sukan boleh menjadi rekreasi dan kategori dikecilkan mengikut kesesuaian umur peserta. Pertandingan yang menelan belanja besar seperti acara di peringkat kebangsaan boleh dikecilkan kepada peringkat daerah sahaja.

Namun begitu mata kredit bagi aktiviti untuk pemberat kemasukan ke universiti perlu dirombak dan dipertimbangkan semula. Pelaksanaannya perlu seragam dan menuntut keikhlasan guru.

Begitulah keadaannya. Sebagai kementerian terbesar, ramai yang terasa terpukul dengan langkah penjimatan itu. Semoga kita semua -para guru - cukup waras menghadapi situasi semasa dengan berhemah dan matang. Pengorbanan ikhlas kita, pasti akan mendapat ganjarannya kelak.

2 Februari 2010 / 17 Safar 1431

TERKINI

Punca kebanjiran guru sandaran di beberapa sekolah di KL

02/02/2010 2:08pm

KUALA LUMPUR 2 Feb. – Kebanjiran Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di beberapa buah sekolah menengah di Kuala Lumpur adalah disebabkan kekurangan tenaga pengajar bagi subjek dalam sains sosial dan bahasa Melayu.

Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sulaiman Wak berkata, seramai 913 GSTT berkhidmat di beberapa buah sekolah menengah di sini khusus bagi mata pelajaran Sejarah, Geografi dan Bahasa Melayu.

"Ramai beranggapan guru-guru yang terbaik hanya bertumpu di kawasan bandar sedangkan di sini kita masih kekurangan guru terlatih bagi subjek-subjek dalam sains sosial selain beberapa subjek lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kualiti Pendidikan di Sekolah Menengah Sentul Utama di sini hari ini.

Selain itu, katanya subjek lain seperti Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil di beberapa buah sekolah jenis kebangsaan (SJK) turut mengalami masalah yang sama. – Bernama